Wednesday, March 26, 2014

HARI INI DALAM SEJARAH

 TARIKH : 31 0KTOBER 2012
 TEMPAT : PANTAI MERDEKA, KEDAH




Sejarah terukir buat julung kalinya YAB. Perdana Menteri Malaysia menjejakkan kaki di bumi Jelapang Padi Negeri Kedah Darul Aman untuk bersama para peladang, penternak dan nelayan. Majlis yang berlangsung dengan meriahnya pada 31 Oktober 2012 dimulakan dengan perarakan ratusan bot nelayan Tg. Dawai mengiringi bot yang dinaiki oleh YAB. Perdana Menteri. Sebaik sahaja tiba di jeti Pantai Merdeka, pemimpin nombor 1 negara telah disambut oleh Yang Berbahagia Dato’ Haji Badri bin Haji Yunus Pengerusi Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Kedah bersama-sama dengan Kumpulan Silat Negeri Kedah.

Seramai lebih 15,000 orang peladang, penternak dan nelayan memberikan tepukan yang gemuruh sebaik sahaja YAB. Perdana Menteri diarak masuk ke khemah majlis dan disertai dengan sorakan “Hidup PM”. Kumpulan Tarian Kebudayaan Negeri Kedah menyambut ketibaan YAB. Perdana Menteri dengan tarian ‘Gemai Padi’ yang merupakan tradisi Negeri Kedah.
 
Pada majlis tersebut Dato’ Pengerusi Jemaah Pengarah PPN Kedah telah memakaikan terendak dan selepang yang menjadi sebahagian daripada pakaian tradisi peladang, penternak dan nelayan Negeri Kedah kepada YAB. Perdana Menteri sebagai penghormatan di atas kesudian beliau hadiri ke majlis tersebut.

 Sebanyak 10 projek berkaitan pertanian telah dikemukakan kepada YAB. Perdana Menteri iaitu Projek Estet Padi dibawah Pertubuhan Peladang Kawasan Luar MADA, Skim Pemilikan Jentera Kecil Peladang, Penubuhan Briged Kawalan Makhluk Perosak dan Penyakit Tanaman, Projek Kecil Pertanian untuk ahli-ahli peladang, Projek Pembangunan Skim Pengairan Ban Merbok, Projek Empangan Mini Pengairan Tanaman Padi Langkawi, Projek Lebuhraya Sungai Bagi Mengatasi Masalah Banjir Untuk Tanaman Padi, Projek Pembinaan Kilang Makanana Ikan Pertubuhan Peladang Kawasan Lubuk Batu, Pembelian Jentuai Padi Pertubuhan Peladang Negeri kedah dan Cadangan Membina Jalan Tepi Sungai Muda Dari Simpang Pokok Machang ke Kampung Kuala Sin Daerah Kuala Muda.
 

YAB. Perdana Menteri dalam ucapannya telah bersetuju mempertimbangkan 3 projek iaitu Penubuhan Briged Kawalan Makhluk Perosak dan Penyakit Tanaman, Projek Lebuhraya Sungai Bagi Mengatasi Masalah Banjir Untuk Tanaman Padi dan Cadangan Membina Jalan Tepi Sungai Muda Dari Simpang Pokok Machang ke Kampung Kuala Sin Daerah Kuala Muda. Diharapkan dengan adanya program sebegini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim di antara pemimpin dengan peladang, penternak dan nelayan.







“PERHIMPUNAN PELADANG, PENTERNAK DAN NELAYAN NEGERI KEDAH’

CREATED BY USIN2014

No comments:

Post a Comment